20090905SH-Bukan tanggungjawab MSN: Safrushahar


Bukan tanggungjawab MSN: Safrushahar
Keratan Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 September 2009 (m.s. N31)
Suryati Mohd Nor

SHAH ALAM· - Pengarah Cawangan Paralimpik, Mohd Safrushahar Yusoff menjelaskan bahawa sukan orang pekak adalah bukan di bawah bidang kuasa Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia mempunyai persatuan tersendiri.

"Sebenarnya persatuan itu di bawah gabungan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) kerana mereka mempunyai persatuan sendiri serta kejohanan yang berbeza dengan atlet paralimpik yang lain.

"Oleh itu, persatuan ini bukan tanggungjawab MSN seperti mana program-program paralimpik yang lain," jelasnya menjawab dakwaan laporan sebelum ini yang mengatakan beregu orang pekak badminton negara tersisih dan tidak menerima bantuan dari pihak MSN.

Katanya, MSN mempunyai klausa-klausa tersendiri dan terhad kepada persatuan, jenis sukan ataupun atlet.

Mengenai insentif pula, pihak MSN tidak pernah ada sesuatu yang tetap diberikan kepada atlet paralimpik sekarang, tetapi cadangan mengenai insentif itu bakal dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan, 8 September ini.

“Selain itu MSN akan menolong mana-mana persatuan yang memerlukan, tetapi pihak kami mempunyai syarat-syarat tersendiri. Seperti sekarang, MSN mempunyai beberapa perancangan kepada atlet paralimpik yang mana MSN lebih bersikap 'kefahaman' dan 'penggalak' dalam sukan prestasi tinggi.

“Semuanya telah dirancang dari awal dan kita boleh lihat sendiri pencapaian atlet-atlet para sekarang. Oleh yang demikian, persatuan itu tidak boleh terus datang memohon bantuan dengan mudah. Banyak benda yang perlu dijelaskan, lebih-lebih lagi mengenai perancangan persatuan itu sendiri,” katanya.  

Safrushahar menjelaskan beliau pernah berbincang mengenai ini dengan jurulatih badminton orang pekak negara, Mohamed Iqbal Yusoffsa.

“Saya sudah jelaskan kepada Iqbal apa yang perlu dilakukan dan setakat mana yang MSN mampu lakukan dan saya rasa dia faham,” katanya.

Mengenai bantuan, Safrushahar berkata, pihaknya akan cuba membantu atlet-atlet orang pekak  tetapi pihak persatuan sendiri perlu mamberi kerjasama yang lebih dan perlu bersedia daripada pelbagai sudut.

Sementara itu, beregu badminton (orang pekak) negara, Thomas Teh Chaang Hook dan Yeo Kok Fang telah berangkat ke Taiwan semalam bagi menghadapi Kejohanan Olimpik Orang Pekak kali Ke-3.

No comments:

Post a Comment